Sabtu, 13 April 2013

KEMBALI

Dingin pagi itu memeluk tubuh untuk meratah-ratah waktu. Selimut aku alihkan dari membalut tubuh usang ini. Mengeluh. Ya, hari ini hari aku tidak menjadi sebahagian dari manusia, aku hanya melentok pada tubuh bantal, meligat akal memikirkan segala yang tidak tercapai.

Aku mengeheret tubuh lalu bersandar pada bucu dinding sambil menghembus segala mainan akal.

"Masih lagi begini?", aku terkedu. Serasa tidak percaya. Mana mungkin, aku berkata sedalam lubuk hati.

"Mengapa? Hahahaha! Jangan risau. Tenang.", gelak itu memperlekeh persoalanku.

Dikeliling segala ruang, kadang terbit senyum sinisnya tatkala memandang.

"Datang untuk berbicarakah? Aku tidak mahu!", tegas dalam ketarku. Muka aku palingkan tanda tidak mengalukan kehadiran.

"Wah! Heh, jangan begitu. Aku tahu engkau sunyi. Aku hanya ingin meneman....", suaranya kian menggiankan. Inilah HITAM.

Aku berdiri perlahan, melihat ke luar tingkap. Memerhati segala awan yang berpacaran-berkumpulan.

"Hitam, kau masih ingat dendang itu?".

"Ya, masih. Kadang-kala aku siulkan. Hembus nafas itu merdu bukan?"

"Haha...ya, ia merdu dalam sumbangku sendiri.", sambil aku meneruskan tawa kecil.

"Masa yang ada sudah tua. Aku bakalan menjadi perindu. Emmm...", kata Hitam sambil mengepak-ngepak perlahan tangannya umpama ingin terbang.

"Ya, aku tahu. Desing memekakkan sering bising mengingatkan. Aku....aku juga akan rindu."
Arah pandanganku terhala pada pencakar-pencakar langit kota yang merintih, mengamuk, bercakaran. Manusia didalamnya sibuk menyembah berhala duit.

"Hei, kawan cuba lihat tari baruku. Indah bukan bunganya?", tanya Hitam sambil menunjukkan rentak tarinya.

"Bunganya indah, tapi kau tiada paksi. Paksi yang satu itu patut kau utamakan. Ingat Hitam, IKHLAS. Ikhlas itu yang utama.", kataku sambil mencapai sebuah kitab.

Aku duduk disudut lalu menyandarkan badanku pada dinding. Aku baca kitab itu, tapi tidak tertelan kandunganya. Hitam datang menyebelah. Dia juga menelaah.

"Sudah bersedia berdepan dosa-dosa mu?", Hitam cuba mengisi kepakuman.

"Sudah. Aku hanya berserah. Hanya mengharap belas kini.".

Hitam mengangguk. Dia berdiri, menjulurkan tangannya ke luar tingkap. Aku memerhati seketika.

"Mahu teman aku bermain tak?" tanya Hitam sambil dia meloncat-loncat umpama kanak-kanak.

"Tak mahulah. Aku mahu menelaah.", kataku sambil menyelak muka surat demi muka surat.

"Ala, sebentar saja. Sementara kau dan aku punya masa. Marilah..", Hitam cuba menarik aku berdiri, tanda memujuk.

"Baiklah, baiklah. Tapi cuma boleh sebentar saja.".

Hitam membuka tawanya, aku juga turut ketawa. Menikmati segala jenaka, mengenangkan duka yang bakal memisah.

-----------------------------------------

Hitam berhenti, nafasnya mengah. Sambil tertunduk dia menoleh pada ku. Dia tersenyum, berdiri dan memandang tepat pada wajah.

"Moga aku akan ada kawan baru kelak. Kawan yang sama macam kau.", dia menepuk perlahan bahu ku.

"Oh, ya, dan jangan risaukan tentang diri kau. Ingat, IKHLAS itu utama.", sambung Hitam lagi.

Keduanya berlalu. Waktu telah menidakkan jalan bagi salah seorang dari keduanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan